Nahas bas persiaran: Empat parah, 19 cedera

IPOH – Empat parah dalam nahas melibatkan sebuah bas persiaran dua tingkat di Kilometer (KM) 273.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kenderaan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun itu membawa 34 orang penumpang dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Nibong menghala ke Teminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri sekitar jam 12.15 tengah malam.

“Kemalangan itu mengakibatkan empat orang penumpang dewasa mengalami kecederaan parah manakala 19 yang lain termasuk tiga orang kanak-kanak hanya cedera ringan.

“Bagaimanapun, pemandu bas dan 11 orang penumpang lain tidak cedera. Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat atau tidak bertimbang rasa.

Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya.

“Justeru, kita meminta saksi yang menyaksikan kemalangan ini supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze, di talian 013-671 3177 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga tersepit, 30 cedera bas dinaiki rempuh pembahagi jalan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI