Nahas dua MPV di Gerik: Seorang maut, empat cedera

GERIK – Seorang lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 1.8 Jalan Gerik–Kupang di sini, pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Muhammad Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung nahas itu sekitar jam 11.45 pagi.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan MPV jenis Nissan Grand Livina dan Perodua Alza yang masing-masing dinaiki empat sekeluarga.

“Siasatan awal mendapati Nissan Grand Livina yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun membawa penumpang wanita berusia 56 tahun dan dua penumpang lelaki yang duduk di bahagian belakang berusia 14 serta 21 tahun.

“Sebuah lagi MPV dinaiki pasangan suami isteri berusia 32 tahun bersama dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan Nissan Grand Livina yang dalam perjalanan dari arah Kupang menghala ke Gerik dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh Perodua Alza.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan parah dan maut ketika tiba di Hospital Gerik manakala penumpang hadapan kenderaan sama  yang mengalami patah tulang rusuk telah dirujuk ke Hospital Taiping.

“Bagaimanapun, dua penumpang di tempat duduk belakang tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Firdaus memaklumkan, pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan parah dan turut dirujuk ke Hospital Taiping manakala penumpang hadapan kenderaan itu tidak cedera.

“Dua kanak-kanak yang berada di tempat duduk belakang MPV berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan mata telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Siti Nursyahira Mohd Saleh di talian 016-828 7981 bagi membantu siasatan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga parah, lima cedera dua MPV bertembung di Gerik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI