Nahas FRU: “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup” – Sarjan Mohd Parih

IPOH – “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup,” luah Sarjan Mohd Parih Ali, 44, salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terselamat dalam nahas di Teluk Intan minggu lalu.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, setelah lebih seminggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI), dia bersyukur dapat kembali ke rumah.

“Di hospital saya sedar, duduk di bilik ICU selama seminggu kemudian dipindahkan ke wad biasa saya dalam dua hari, sedar semuanya.

“Cuma pada ketika itu masih berada dalam keadaan khayal (separa sedar). Ini peluang kedua saya,” katanya ketika ditemui di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, pada Jumaat.

Mengimbas kembali pengalaman tragis itu, dia berkata, kemalangan berlaku hanya kira-kira 20 minit selepas mereka keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Nahas FRU: “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup” – Sarjan Mohd Parih
Isteri, Rohani Yatim, 45, menemani suaminya Sarjan Mohd Parih Ali, 44, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas melibatkan sebuah trak polis dan lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan, di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 MEI 2025.

“Lepas traffic light (lampu isyarat), saya tertidur terus sebab baru habis kerja jam 3 pagi. Pagi jam 9 pagi pula dah kena masuk kerja. Masuk lori (trak FRU) memang niat nak tidur. Tapi nak terjadi (kemalangan), nak buat macam mana.

“Saya memang tak sedar. Bila dah sedar kawan-kawan tarik. Dalam keadaan patah tidak boleh bergerak, lepas naik stretcher (pengusung) naik ambulan sampai hospital memang saya ingat,“ ujarnya yang dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu lalu.

Lebih dua dekad dalam pasukan FRU, sejak mula melapor diri pada tahun 2003, dia menyifatkan kemalangan ini sebagai peristiwa yang paling sukar dilupakan dalam hidupnya.

“Masa saya nak balik, saya tak sempat jumpa mereka. Saya harap rakan-rakan yang masih dirawat di ICU kuat semangat,“ katanya.

Nahas FRU: “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup” – Sarjan Mohd Parih
Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim menyampaikan sumbangan kepada Sarjan Mohd Parih Ali, 44, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas melibatkan sebuah trak polis dan lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan, di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF, 23 MEI 2025.

Sementara itu, Rohani Yatim, 45, isteri kepada Mohd Parih berkata, suaminya mengalami beberapa kecederaan di bahagian badan akibat kemalangan tersebut.

“Suami mengalami pendarahan dalam kepala dan hati, serangan jantung dan jantung bengkak, kecederaan tisu tulang belakang, patah tangan kanan serta cedera di kedua-dua tempurung kaki,“ jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist itu berkata, suaminya masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengikut jadual diberikan doktor pakar.

“Sepanjang rawatan di ICU saya anggap ianya satu tempoh yang mendebarkan, tetapi saya percaya dan yakin atas semua doa-doa rakyat Malaysia, suami saya boleh sembuh,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bersama Yayasan Ikhlas hadir Yayasan Ikhlas dan Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak melawat mangsa dan waris kemalangan itu bagi menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: Empat anggota dirawat di ICU, keadaan stabil

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI