IPOH – “Dia jaga saya sampai saya boleh berjalan semula,” luah Haswati Rosdi, 44, isteri kepada Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada Selasa.
Menurutnya, sejak mereka mendirikan rumah tangga lapan tahun lalu, arwah suaminya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab, malah sentiasa berada di sisi terutama ketika dirinya berdepan masalah kesihatan.
“Saya diserang strok pada tahun 2019 dan hilang keupayaan berjalan. Arwah jaga saya, bawa saya ke hospital setiap kali ada temujanji. Kami pergi ke mana-mana pun berdua sampai saya pulih semula.
“Dia suami yang sangat baik, bukan sahaja kepada saya, malah kepada tiga anak saya daripada perkahwinan terdahulu. Dia layan mereka seperti anak kandung sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kuarters FRU Sungai Senam di sini, hari ini.
Haswati turut berkongsi bahawa pasangan itu baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka bulan lalu.
Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya adalah pada pagi Isnin, sebelum Damarrulan bertolak ke Teluk Intan untuk tugasan.
“Kami sempat bersarapan bersama. Biasanya dia akan cium dahi saya setiap kali keluar bertugas luar kawasan, tapi hari itu arwah tidak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini pada Rabu.
Tambahnya, pada pagi kejadian, suaminya sempat menghantar gambar berada dalam trak sekitar jam 8.35 pagi, sebelum dia menerima berita nahas berkenaan tidak lama selepas itu.
Allahyarham Damarrulan, 33, telah menyertai FRU sejak enam tahun lalu adalah antara sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan membabitkan trak dinaiki mereka yang dirempuh sebuah lori bermuatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Lapan maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, anak sulung Haswati, Qaidah Thaqifah Mohd Yuslee, 23, berkata, meskipun arwah bukan bapa kandungnya, dia sangat menghormati dan menyayangi lelaki itu seperti ayah sendiri.
“Saya belajar di Universiti Malaysia Perlis. Waktu saya tiada di rumah, arwahlah yang jaga ibu dan dua adik saya.
“Sebelum ini, saya pernah teringin nak makan ayam gepuk sebelum balik kampus, dia terus cari dan beli untuk saya tanpa banyak soal. Saya tak akan lupa kebaikan dia,” ujarnya.
Arwah turut meninggalkan dua lagi anak tiri, Qamarina Batrisyia, 21, dan Qarisya Safea, 17. – MG Perak
Artikel Berkaitan: