IPOH – Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim memohon supaya orang ramai berhenti menyalahkan mana-mana pihak berhubung nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.
Sebaliknya, beliau memohon kepada rakyat Malaysia supaya menunjukkan kebersamaan dengan menghormati anggota keselamatan yang terlibat dalam kejadian itu.
“Kita memohon kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi sumbangan dan tunjukkan rasa kebersamaan kepada segolongan rakyat yang banyak berjasa kepada kita dan hentikanlah salah menyalahkan antara satu sama lain.
“Tiada pihak yang hendak benda (kemalangan) ini terjadi dan ia adalah kententuan ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi mangsa dan waris nahas kemalangan itu bersama Yayasan Ikhlas dan Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengurus Yayasan Ikhlas cawangan Ipoh, Hassriq Hafize Abdul Halim Hafiz dan wakil Kelab Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Perak yang tampil memberikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.
Bagaimanapun Zamri berharap tragedi itu dijadikan iktibar supaya aspek keselamatan ditambah baik khususnya melibatkan operasi pasukan keselamatan.
“Pada masa akan datang, perlu difikirkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih selamat, lebih-lebih lagi kepada anggota keselamatan kita yang banyak menyumbang kepada negara,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas FRU: “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup” – Sarjan Mohd Parih