IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyantuni kesemua waris kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas jalan raya di Teluk Intan minggu lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kesemua mereka telah dihubungi JKM seawal pada hari kejadian sebagai tanda komitmen jabatan memberikan sokongan emosi dan kebajikan.
Menurut beliau, JKM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersama-sama memberikan khidmat kaunseling dan sokongan psikososial kepada waris yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
“Bantuan khidmat kaunseling yang diberikan JKM adalah berterusan, bukan sekadar sehari atau dua hari sahaja. Kita sentiasa bersedia selagi mana mereka memerlukan bantuan dari sudut sokongan emosi.
“Malah tempoh sesi kaunseling juga bergantung kepada waris itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ziarah Kasih di kediaman keluarga Allahyarham Koperal Muhamad Akmal Muhamad di Bandar Baru Putra, dekat sini, pada Selasa.
Muhamad Akmal, 35, merupakan antara sembilan anggota FRU yang maut dalam nahas jalan raya antara trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.
Pada ziarah berkenaan, Noraini menyantuni balu, Noor Hasliza Mohd Hadzri dan keluarga Allahyarham dengan menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara.
Sumbangan yang sama turut disampaikan kepada setiap waris sepanjang program.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan masih terdapat waris terutama dalam kalangan anak mangsa yang masih berada dalam keadaan trauma susulan kejadian terbabit.
“Saya dimaklumkan ada anak yang pergi ke sekolah dalam keadaan sedih, tambahan pula melihat sendiri video kemalangan itu.
“Jadi seperti yang saya tekankan bahawa, JKM sentiasa bersedia untuk membantu mereka ini dari semasa ke semasa, dan sudah semestinya usaha ini berterusan,” katanya lagi.
Tambah beliau, JKM juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi menghulurkan bantuan susulan kepada setiap keluarga khususnya yang berkaitan sumber kewangan.
“JKM akan memulakan siasatan bagi melihat keperluan-keperluan lain yang dirasakan boleh kita bantu.
“Malah di negeri kita ada Baitulmal dan sebagainya yang saya yakin turut bersedia untuk menghulurkan bantuan susulan,” katanya lagi.
Pada 13 Mei lalu, nahas jalan raya membabitkan pertembungan trak FRU dengan lori yang membawa muatan batu itu turut menyebabkan lima anggota pasukan berkenaan cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.
Kenderaan dinaiki 18 anggota FRU termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PTPTN sampaikan manfaat simpan SSPN kepada anak mangsa nahas FRU