Nahas FRU: Lima bulan pemergian bapa, abang pula menyusul 

IPOH – Tahun 2025 menjadi detik paling menyedihkan buat keluarga Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim apabila mereka kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh kurang lima bulan.

Adik bongsu arwah, Mohamad Hazizi Abd Rahim, 35, berkata, keluarganya masih bersedih dengan pemergian bapa mereka yang menghadapi komplikasi buah pinggang pada Januari lalu.

Menurutnya, ujian terus menimpa dengan berita kematian abangnya dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang turut meragut lapan anggota lain di Teluk Intan, semalam.

“Tahun ini benar-benar tahun yang sedih buat kami. Selepas ayah meninggal awal tahun ini, abang pula pergi secara mengejut dalam kemalangan.

“Arwah abang anak ketiga daripada lima beradik. Kali terakhir kami berkumpul semua adik-beradik ialah pada Hari Raya ketiga di kampung di Jengka (Pahang).

“Masa itu kami sekeluarga sempat duduk dua hari bersama sebelum balik ke tempat kerja masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di sini, hari ini.

Mengulas detik menerima berita itu, Hazizi berkata beliau dihubungi oleh kakak iparnya yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan dan sedang dirawat di zon merah.

“Kami dapat tahu pagi Selasa. Mula-mula isteri arwah maklumkan kemalangan, kemudian kami tunggu perkembangan lanjut.

“Bila nama arwah tersenarai sebagai cedera, saya terus bergerak dari Damansara ke Ipoh. Tapi belum sampai Rawang, kami dapat berita arwah sudah meninggal dunia. Sangat mengejutkan dan menyedihkan,” katanya.

Mengenai peribadi abangnya, Hazizi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang pendiam tetapi disenangi ramai dan mudah didekati.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta tiga orang anak dan anak-anak arwah dijangka akan tinggal bersama datuk dan nenek mereka di Meru Raya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: Suasana sayu menyelubungi pengebumian jenazah Mohd Roslan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI