Nahas FRU: Sembilan wira negara diberi penghormatan terakhir istiadat polis

IPOH – Sembilan jenazah dan jasad Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit nahas jalan raya di Teluk Intan, di beri penghormatan terakhir mengikut istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sungai Senam di sini, awal pagi Rabu.

Kesemuaa wira negara itu dibawa dengan van milik PDRM tiba sekitar jam 3.14 pagi bagi istiadat berkenaan sebelum jenazah dan jasad dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Sebelum solat jenazah yang disertai 500 orang diadakan, keranda membawa jenazah dilitupi dengan Jalur Gemilang.

Turut hadir menunaikan solat jenazah adalah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.

Terdahulu, tujuh jenazah mangsa yang beragama Islam disembahyangkan di Surau Ar-Rahman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Sementara jasad mendiang S Perumal dibawa ke Krematorium Buntong di sini manakala mendiang Koperal Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang di sini pada jam 4.50 pagi ini.

Pengebumian anggota FRU berusia 33 tahun itu turut dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan.

Jenazah dikebumikan mengikut istiadat pengkebumian kepahlawanan dan Noor Hisam menyerahkan Jalur Gemilang kepada ibu Allahyarham, Suriati Omar, 53.

Talkin dibacakan Imam Masjid Kampung Kepayang, Jamaludin Mohd Amin manakala tahlil dan doa disempurnakan oleh Azrul Zaimee Mohamad Ali dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard FRU.

Suasana sayu dan pilu mengiringi upacara pengebumian di kawasan perkuburan berkenaan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Jenazah 7 Anggota FRU Selesai Disembahyangkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI