Nahas FRU: Semua mangsa yang dirawat di hospital dibenarkan pulang

TELUK INTAN – Tiga anggota Pasukan Simpanan Keselamatan (FRU) yang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI), di sini, selepas terbabit dalam nahas tragis 13 Mei lalu, dibenarkan pulang semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, anggota terbabit adalah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50 dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

“Haslizal telah dibenarkan keluar dari hospital sekitar jam 1 petang semalam manakala Mazlan dan Mohd Izwan telah dibenarkan pulang jam 6 petang tadi,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mangsa pertama yang dibenarkan pulang dari HTI pada hari kejadian adalah Koperal Nizam Tarmizi, 38, diikuti Lans Koperal Muhammad Aniq Taufiq Rozi, 26, pada 14 Mei lalu

Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, dan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, 34, dibenarkan pulang pada 17 Mei lalu manakala Sarjan Mohd Parih Ali, 44, pada 21 Mei.

Seorang lagi mangsa kemalangan yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) iaitu Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, dibenarkan pulang pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi, 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam.

Ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam, Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena sambutan Chitirai Pournami di sini.

Sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal P Nurit, 34, dan Koperal Amiruddin Zabri, 38.

Empat lagi ialah Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: “Alhamdulillah, saya diberi peluang kedua untuk hidup” – Sarjan Mohd Parih

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI