Nahas FRU: Tiada saksi tampil berhubung dakwaan kenderaan keluar simpang

TELUK INTAN – Polis memaklumkan belum ada saksi tampil berhubung dakwaan terdapat kenderaan yang dikatakan keluar simpang sebelum lori membawa muatan batu terbabas ke laluan bertentangan susulan nahas jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam, di sini Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, setakat ini tiada laporan diterima berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, siasatan sudah selesai dijalankan dan sembilan pertuduhan berasingan telah dibuat kepada pemandu lori berkenaan pada jam 9 pagi semalam.

“Setakat ini saksi yang mengatakan ada melihat (kejadian tersebut) tidak tampil kepada pihak polis. Sekiranya ada, mungkin pihak polis akan meneruskan siasatan susulan daripada saksi-saksi bagi tujuan perbicaraan nanti,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Teluk Intan (HTI) di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zulkafli berkata, polis telah merakamkan 16 keterangan saksi berhubung kejadian berkenaan termasuk pemandu lori batu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja gerai makan mendakwa terdapat kenderaan didakwa keluar simpang sebelum lori membawa muatan batu itu terbabas ke laluan bertentangan.

Pekerja terbabit mendakwa melihat situasi itu dari gerai makan tempat bekerja yang terletak bertentangan dengan simpang menghala ke Chikus sebelum mendengar bunyi dentuman kuat.

Sewaktu kejadian pekerja terbabit mendakwa melihat sekurang-kurangnya dua trak FRU dari arah Teluk Intan menghala Tapah yang sudah melepasi lori bermuatan batu berkenaan yang mahu ke arah bertentangan.

Dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi Selasa lalu itu, sebuah trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori yang sarat membawa batu.

Lapan anggota maut di tempat kejadian sementara seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala sembilan yang lain pula mengalami cedera.

Kenderaan FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas untuk perayaan Chitrapournami, sebelum dilanggar lori berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: Koperal Syed Isfan tunjuk perkembangan positif, namun masih kritikal

Sultan Perak berkenan berangkat ziarah mangsa nahas trak FRU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI