TANJUNG MALIM – Hujan lebat mengiringi Majlis Tahlil Perdana Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dianjurkan untuk mangsa insiden nahas jalan raya di Gerik, pada Isnin.
Majlis yang dianjurkan di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, itu disertai 5,000 orang dalam kalangan pemimpin, pensyarah, kakitangan dan pelajar.
Antara yang hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Majlis Tahlil Perdana bermula sekitar jam 7.02 malam itu diketuai Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman.
Ia turut diadakan Solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah yang diimamkan Pegawai Tadbir Pusat Islam UPSI, Muhammad Majdan Ismail.
Pada majlis sama, juga diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada Md Amin mewakili UPSI bagi disalurkan kepada waris dan mangsa yang terlibat dalam nahas jalan raya berkenaan.
Penyumbang terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, agensi kerajaan dan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Teknologi MARA (UiTM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Sains Malaysia (USM) serta Yayasan Perkasa Siswa (YPS).
Turut menyampaikan sumbangan masing-masing termasuk Pejabat Menteri Besar Perak; Syarikat Takaful Malaysia, Malaysian Takaful Association; Lumut Port; Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB); Majlis Bandaraya Pasir Gudang serta Artis Bangsa Johor.
Pada Isnin lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, 15 pelajar UPSI maut manakala 33 lagi cedera, termasuk pemandu, kelindan dan empat sekeluarga dalam MPV berkenaan.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jerteh, di Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas sambutan Hari Raya Aidiladha. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas Gerik: UPSI jamin pelajar terlibat tidak tangguh semester