Nahas Gerik: UPSI jamin pelajar terlibat tidak tangguh semester

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi jaminan bahawa semua pelajar yang terlibat khsusnya tercedera dalam nahas jalan raya di Gerik pada Isnin minggu lalu tidak perlu menangguhkan semester pengajian.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya sedang menggerakkan segala usaha termasuk penyelarasan akademik bagi memastikan mereka yang terlibat tidak tercicir dalam akademik masing-masing.

Katanya, perkara itu juga antara yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim, serta disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada beliau tempoh hari.

“Mohon (dekan fakulti dan pensyarah) untuk uruskan dengan baik buat pelajar yang cedera sama ada mereka kini di hospital atau di rumah. Ia termasuk dalam soal peperiksaan, penugasan, perjalanan pengajian dan sebagainya.

“Seboleh-bolehnya tiada yang perlu menangguh semester. Mereka berada dalam kesukaran dan kesakitan. Kita ada banyak sistem pembelajaran yang fleksibel, oleh itu pastikan mereka tidak tertinggal (tercicir),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat khas berkenaan perkembangan terkini pasca nahas jalan raya di Gerik secara maya, dekat sini, pada Isnin.

Pada awal pagi Isnin, media melaporkan 15 pelajar UPSI maut dalam nahas tragis membabitkan sebuah bas yang dinaiki mereka dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik.

Dalam insiden sekitar jam 12.45 tengah malam itu, seramai 27 pelajar UPSI yang lain, serta pemandu bas dan empat sekeluarga yang menaiki MPV, cedera.

Artikel berkaitan:

Bas yang membawa 42 pelajar berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, Md Amin berkata pihaknya juga akan memastikan kebajikan kakitangan dan pelajar yang menjadi sukarelawan dalam menghulurkan bantuan sama ada kepada mangsa mahupun waris terus terjaga.

Kata beliau, pihak universiti akan memanfaatkan pelbagai tabung dalaman dan sumbangan yang diterima bagi memastikan segala usaha berkenaan dapat dilaksanakan.

“Kakitangan yang terlibat, jangan dibebankan dengan tugasan-tugasan pejabat. Manakala para pelajar pula jangan digagalkan kerana di UPSI, ia bukan akademik semata-mata. Di UPSI, adab dan akhlak adalah keutamaan,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau memberitahu UPSI turut akan memanjangkan bantuan kebajikan kepada rakan-rakan mangsa yang terlibat, terutama daripada sudut pengurusan psikologi.

“Bayangkan ketika sedang membuat pembentangan kumpulan, daripada lima, hanya tinggal tiga nama sahaja dalam kelas.

“Di kolej kediaman pula, daripada empat sahabat, hanya tinggal dua orang memandang sepi kepada katil yang kosong. Saya mohon semua, bantulah anak-anak ini yang sedang di saat sukar,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nahas Gerik: Keadaan fizikal komponen brek bas berada dalam keadaan baik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI