TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM1.7 juta bagi disalurkan kepada waris dan mangsa nahas jalan raya melibatkan pelajar institusi terbabit di Gerik, setakat Isnin.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sumbangan menerusi Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin yang dilancarkan UPSI itu berjaya dikumpul dalam tempoh seminggu.
Katanya, antara penyumbang kepada tabung berkenaan termasuk 40 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan, agensi kerajaan, badan korporat serta badan bukan kerajaan (NGO).
Menurut beliau, sumbangan itu merupakan manifestasi keprihatinan, solidariti dan simpati seluruh rakyat Malaysia terhadap keluarga mangsa.
“Sewaktu kejadian, kita telah menyampaikan bantuan awal kepada waris mangsa maut dan pelajar yang cedera, antara sebanyak RM1,000 hingga RM2,000.
“Sehingga kini, bantuan wang tunai sebanyak RM371,000 telah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan bagi tujuan kebajikan serta menampung kos perubatan.
“Justeru, baki sumbangan selepas ini akan diserahkan kepada UPSI untuk diagihkan kepada para penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Tabung KPT Prihatin yang mula dilancarkan sejak Isnin minggu lalu dijangka akan ditutup pada Jumaat.
Selepas itu, sebarang sumbangan boleh diserahkan terus kepada waris atau mangsa.
Baki sumbangan akan terus diagihkan secara berfasa dalam tempoh seminggu, termasuk bagi tujuan menampung kos perubatan dan kebajikan.
Sementara itu, Zambry turut mengumumkan sumbangan sebulan gaji beliau kepada tabung berkenaan.
“Saya anggap ia satu sumbangan kecil. Kehilangan anak-anak ini jauh lebih besar daripada apa yang saya sumbangkan.
“Tidak perlu dihebohkan, saya hanya ingin bersama rakyat dalam saat duka ini,” ujar beliau.
Pada Isnin lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga di Kilometer 53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli, berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Dalam nahas sekitar jam 12.45 tengah malam itu, 15 pelajar UPSI maut, manakala 33 lagi cedera termasuk pemandu, kelindan serta empat sekeluarga yang menaiki MPV.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas Gerik: UPSI jamin pelajar terlibat tidak tangguh semester