Nahas helikopter: Bangkai pesawat dibawa keluar dari lokasi

LUMUT – Bangkai dua helikopter yang terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, pada Selasa, telah dibawa keluar dari lokasi kejadian, hari ini.

Sumber TLDM ketika dihubungi Malaysia Gazette (MG) Perak berkata, proses membawa keluar kedua-dua bangkai pesawat jenis HOM M5033 dan Fennec M5026 berkenaan bermula jam 9 pagi dan selesai pada jam 4.30 petang.

Katanya lagi, operasi dimulakan dengan mengeluarkan bangkai pesawat jenis Fennec M5026 yang terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, disusuli pesawat jenis HOM M5033 di Stadium TLDM Lumut.

“Semua bangkai pesawat yang terhempas berkenaan kemudiannya ditempatkan di sebuah lokasi di dalam Pangkalan TLDM Lumut bagi memudahkan proses siasatan dijalankan.

“Siasatan diketuai pasukan penyiasat yang ditubuhkan oleh TLDM dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menjalankan siasatan sejak hari pertama kejadian,” katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua bangkai pesawat akan dibawa keluar dari Pangkalan TLDM Lumut untuk siasatan lanjut atau tidak, beliau memaklumkan setakat ini ia akan ditempatkan di dalam pangkalan.

“Seperti mana dalam kenyataan sebelum ini, laporan awal akan diperoleh dalam tempoh 14 hari, manakala laporan penuh 30 hari, jadi apabila bangkai pesawat kekal dalam pangkalan ia akan memudahkan pasukan penyiasat.

“Bila bangkai kekal di pangkalan ia memudahkan pasukan penyiasat membuat pemeriksaan dan mungkin simulasi-simulasi yang boleh dibuat berdasarkan kejadian,” katanya.

Selasa lalu, 10 anggota TLDM disahkan terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang TLDM ke-90.

Kedua-dua helikopter terbabit dilaporkan berlepas dari padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi sebelum bertembung di udara.

Pertembungan berkenaan menyebabkan kedua-dua helikopter tersebut hilang kawalan sebelum terhempas di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Kesemua 10 mangsa selamat disemadikan mengikut upacara keagamaan masing-masing pada malam Rabu dan pagi Khamis. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas helikopter terhempas: 7 kru lelaki, 3 wanita dikenal pasti – KP Perak

Kesemua 10 kru helikopter TLDM terhempas disahkan terkorban

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI