GERIK – Seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, Gerik-Jeli, pada Ahad meninggal malam semalam.
Mangsa dikenali sebagai Aminuddin Othman, 54, merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mahmud Paduka Raja (1), Tanah Merah, Kelantan.
Kematian mangsa itu menjadikan korban nahas seramai tiga orang setakat ini manakala tujuh lagi masih menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood dalam kenyataan ringkas berkata, mangsa merupakan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang bertembung dengan kereta Proton Persona dalam kemalangan berkenaan.
Menurut beliau mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Taiping pada jam 11.20 malam tadi.
Terdahulu media melaporkan, pasangan suami isteri maut manakala lapan lagi termasuk seorang bayi perempuan dan dua kanak-kanak lelaki cedera selepas dua kereta bertembung di Jalan Raya Timur Barat berhampiran R&R Banjaran Titiwangsa, Gerik-Jeli pada Ahad.
Tiga kanak-kanak berkenaan berada dalam kereta Proton Persona yang dinaiki pasangan suami isteri itu dan lelaki yang maut dipercayai seorang veteran tentera berusia lingkungan 40-an manakala isterinya berusia 30-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata individu yang menaiki kenderaan Toyota Innova terdiri dari seorang lelaki dan empat wanita.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasaan pada jam 12.23 tengah hari dan segera mengerahkan 13 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Innova dinaiki seorang lelaki dan empat wanita yang bertembung dengan sebuah Proton Persona dinaiki suami isteri yang maut bersama seorang bayi perempuan dan dua kanak-kanak lelaki,” katanya. -MG Perak