GERIK – Tangisan dan suasana bising di lokasi kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi Isnin memenuhi segenap ruang.
Usaha menyelamatkan ke semua mangsa termasuk pemandu dan kelindan bas beserta empat beranak menaiki Perodua Alza dilakukan secara berterusan dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan berkenaan.
Difahamkan mangsa yang meninggal di lokasi kejadian diasingkan di satu lokasi diikuti mangsa yang mengalami kecederaan parah dan cedera ringan.
Bagi anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, Muhammad Isma Aliff Mod Asri, 24, setibanya di lokasi dia mendengar teriakan mangsa dengan jelas sebelum melaporkan diri untuk menerima arahan menyelamat.
“Masa kami sampai ada yang nangis, sausana pula bising namun saya hiraukan semua itu kerana kami terus memberi perhatian kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah.
“Kami lihat mangsa telah di ‘tagging’ (ditanda) mana yang meninggal dunia, mana yang parah dan mana yang cedera ringan. Kami diberi arahan untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami kecederaan parah terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, di sini.
Katanya lagi pasukan APM Hulu Perak menerima seorang mangsa perempuan yang cedera parah dalam kejadian berkenaan untuk di bawa ke Hospital Gerik bagi menerima rawatan lanjut.
“Keadaannya sangat parah boleh dikatakan 50/50 di mana dia mengalami muntah darah dipercayai akibat kecederaan dalaman. Kami cuba sedaya upaya memberi rawatan awal sehingga tiba di hospital.
“Selepas itu kami kembali semula ke lokasi bagi mengambil dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan untuk menerima rawatan di hospital,” katanya.
Isma Aliff berkata, peristiwa berkenaan merupakan pengalaman yang sukar dilupakannya kerana melibatkan ramai mangsa bukan sahaja yang meninggal malah cedera parah dan ringan.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala 27 lagi cedera selepas bas yang membawa mereka merempuh bahagian belakang MPV berkenaan di laluan JRTB Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas 15 pelajar UPSI maut: Bas hilang kawalan, langgar MPV – Laporan awal polis