IPOH: Dua penumpang Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding pada Isnin turut mengalami kecederaan serius.
Mangsa Nurul Ain Zakaria, 36, mengalami kecederaan patah lima tulang rusuk manakala anak perempuannya Nur Aisyah Nafishah enam tahun patah tulang di lutut.
Berdasarkan perkongsian pemilik Facebook bernama Mohd Zaidi Desa memaklumkan anak lelaki Nurul Ain turut tercampak keluar dari kenderaan.
“Mohon doakan Ustaz Lufti (Mohd Lutfi Radzi, 37) dan keluarga yang terlibat dalam kemalangan bas bawa pelajar UPSI semalam (Isnin).
“Anak lelaki tercampak keluar, anak perempuan patah tulang dekat lutut dan isteri patah lima tulang rusuk,” katanya.
Beliau berkata, Mohd Lufti merupakan seorang ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam diSekolah Kebangsaaan (SK) Malau, Kedah.
Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam sidang media berkaitan nahas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik memaklumkan empat sekeluarga tersebut mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Baling.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala 27 lagi cedera selepas bas yang membawa mereka merempuh bahagian belakang MPV berkenaan di laluan JRTB Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: 13 Jenazah Pelajar UPSI Dibawa Pulang Ke Terengganu