KUALA LUMPUR – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dilaporkan memerlukan bekalan darah untuk menampung keperluan pesakit yang terlibat dalam kemalangan bas yang telah mengorbankan 15 penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Waktu operasi terkini Pusat Derma Darah HRPB pada Isnin hingga Khamis adalah dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 9 malam.
Manakala hari Jumaat pada jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 2.45 petang hingga 9 malam.
Lokasi derma darah adalah di Bilik Pendermaan Darah HRPB di Bangunan Jabatan Perubatan Transfusi yang terletak bersebelahan pusat rawatan harian hospital berkenaan.
Sementara itu, menerusi Threads, seorang pemilik akaun _khunchantrana merayu orang ramai membantu menderma darah kerana rakan-rakan seperjuangannya masih dalam keadaan kritikal.
Melalui makluman yang dikongsikan, HRPB memerlukan penderma darah A dan B.
_khunchantrana turut memaklumkan rakannya, Wan Nor MAsyitah Wan Hussein mengalami kecederaan teruk dan berada di Zon Kuning Hospital Taiping.
Wan Nor, katanya, mengalami patah tulang paha, tulang belakang dan pinggul retak.
Mangsa nahas di Gerik ini sedang menunggu keputusan pakar sama ada perlu pembedahan.
Manakala Nurul Athirah Zakaria pula mengalami paru-paru lebam disebabkan hentakan dalam kemalangan tersebut,
Selain itu, Nurul turut mengalami pendarahan kepalam namun pernafasannya sudah stabil dan kini berada di wad biasa.
Meskipun begitu, Nurul masih dipantau doktor dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette