Nahas pelajar UPSI: Polis rekod keterangan 18 individu

IPOH – Polis telah merekodkan keterangan 18 individu bagi membantu siasatan nahas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik di sini yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mereka yang telah diambil keterangan melibatkan 13 pelajar UPSI, suami isteri yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, doktor forensik Hospital Gerik dan pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, polis masih belum merekodkan kenyataan daripada pemandu bas, yang masih menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Setakat ini, kita telah mengambil keterangan dari 18 orang iaitu 13 pelajar UPSI yang cedera yang telah discaj, pemandu Alza, seorang saksi ‘dashcam’ yang tular di media sosial, dua doktor forensik Hospital Gerik, dan isteri kepada pemandu Alza itu.

“Keadaan pemandu bas kita serahkan kepada pihak hospital dan pegawai penyiasat akan lihat perkembangan pesakit dan dapatkan pandangan pihak hospital berhubung perkara itu,“ katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Rabu.

Nahas pelajar UPSI: Polis rekod keterangan 18 individu, rakaman dashcam dianalisis
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 11 JUN 2025.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisam berkata, pihaknya sedang menunggu pemandu bas itu dibenarkan keluar dari hospital sebelum mengambil kenyataannya serta mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

“Tiada permohonan reman dibuat setakat ini terhadap pemandu bas. Kami menunggu sehingga dia dibenarkan keluar hospital.

“Sampel darah pemandu bas telah dihantar untuk analisis dan keputusan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.

“Saya juga menasihatkanlah supaya pemandu ini tidak memberikan keterangan sebelum kita merakam keterangan takut menganggu siasatan,” ujarnya.

Beliau berkata, polis juga sedang bekerjasama dengan beberapa agensi lain seperti Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS); Jabatan Kimia Petaling Jaya; Jabatan Kimia Perak dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Tambahnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD); Forensik IPK Perak dan juga Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM turut bekerjasama rapat bagi menyiasat secara terperinci berhubung kes tersebut.

Noor Hisam turut memaklumkan rakaman dashcam yang tular juga telah dihantar kepada pasukan forensik Bukit Aman untuk dianalisis untuk mengesahkan kesahihan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas pelajar UPSI: Sampel darah pemandu bas diambil

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI