IPOH – Proses bedah siasat 13 mangsa nahas bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, dijangka selesai selewat-lewatnya tengah malam ini.
Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, setakat ini enam jenazah telah selesai menjalani proses bedah siasat.
“Proses bedah siasat telah dimulakan dan perkara pertama yang dibuat adalah pengecaman jenazah yang akan dilakukan oleh ahli keluarga waris.
“Saya dimaklumkan masih ada waris yang belum tiba di Ipoh. Ada beberapa jenazah yang masih belum melalui proses kenal pasti.
“Secara amnya proses bedah siasat akan mengambil masa dua hingga tiga jam untuk satu-satu jenazah.
“Buat masa ini kami mempunyai tiga pasukan yang berjalan secara serentak dan apabila proses pengecaman serta bedah siasat telah selesai untuk beberapa jenazah,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.
Dalam kejadian itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala beberapa mangsa yang lain mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Gerik.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Saarani tak dapat bendung emosi selepas bertemu waris pelajar UPSI