IPOH – Polis telah mengambil sampel darah pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sampel itu diambil bagi menjalankan ujian untuk menentukan sama ada lelaki berusia 39 tahun itu berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian.
“Sampel darah telah diambil semalam (Isnin) di Hospital Gerik dan dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Perak di Ipoh untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah Noor Hisam, pemandu bas berkenaan dan seorang kelindan berusia 54 tahun kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di Hospital Taiping mengikut tahap kecederaan masing-masing.
“Sementara itu, polis turut merakam keterangan daripada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) pada Isnin.
“Isteri pemandu dan dua anak mereka masih menerima rawatan di Hospital Baling, Kedah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Noor Hisam memaklumkan seramai 10 pelajar UPSI masih menerima rawatan, iaitu lapan di Hospital Taiping dan dua lagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Ujar beliau, sementara pelajar-pelajar UPSI lain yang terbabit nahas sama hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Gerik.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian nahas jalan raya berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Masyarakat juga diminta tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan sumbernya kepada pihak lain,” tegasnya.
Dalam insiden kira-kira jam 1 pagi itu, sebuah bas persiaran yang membawa 42 pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga di laluan sama.
Kemalangan itu mengorbankan 15 pelajar UPSI, manakala pemandu serta penumpang MPV mengalami kecederaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: