IPOH – Salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Fakhrul Arif Rosdi, 20, pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke luar negara.
Ibu kepada Allahyarham, Yusmaimi Yusof, 50, berkata, namun dia tidak menyangka ketentuan takdir terhadap anak ketiga daripada lima beradik itu bahawa ‘ke luar negara’ yang dimaksudkan adalah ke ‘negara abadi’.
“Dia pernah kata, selepas habis pengajian dia mahu sambung belajar di luar negara. Tapi mungkin (Tuhan sudah tentukan) luar negara itu ke negara abadi,” katanya sebak.
Dia berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.
Fakhrul Arif antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang dinaiki dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin itu, 15 pelajar institusi itu disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan dalam nahas jalan raya di Kilometer (km) 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Pulau Banding, Gerik.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindan yang berusia 54 tahun.
Nahas jalan raya itu dipercayai berlaku apabila bas dinaiki kesemua pelajar melanggar bahagian belakang sebuah MPV sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.
Mengulas lanjut, Yusmaimi menyifatkan anaknya sebagai seorang yang sangat baik dan amat disayangi ahli keluarga.
Menurutnya, dia mengetahui berita pemergian anaknya selepas dimaklumkan oleh seorang lagi anak yang menetap di Pulau Pinang.
“Selepas media melaporkan ada kejadian nahas melibatkan pelajar UPSI, anak saya yang lain bertanyakan tentang perkara itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga, tapi arwah tak jawab.
“Dalam perjalanan ke hospital (HRPB), barulah saya dimaklumkan yang Fakhrul Arif sudah tiada,” ujarnya.
Sementara itu kakak Allahyarham, Nurul Aziatul Azlin Rosdi, 25, berkata, adiknya yang sedang berada di semester dua jurusan Ijazah Perakaunan dalam perjalanan ke UPSI di Tanjung Malim selepas pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman di Besut, Terengganu.
Katanya, Fakhrul Arif tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan kelihatan ceria sepanjang sambutan Hari Raya meskipun hanya bercuti selama dua hari.
“Sebelum naik bas, dia ada mengadu badan panas dan beritahu mahu tidur dalam bas. Dia sempat kata pada saya, ‘Kak, badan panas lah’, kemudian makan ubat demam dan terus naik bas. Sebelum berlepas, dia cakap pada saya, ‘Nak naik (bas) dulu, nak tidur’,” ujarnya lagi.
Tambahnya, kehilangan adiknya itu amat dirasai kerana Allahyarham merupakan anak yang paling manja dalam kalangan adik beradik yang lain.
Jenazah Fakhrul Arif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar, Besut kira-kira jam 4.30 pagi Selasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
13 jenazah pelajar UPSI dibawa pulang ke Terengganu
‘Saya berselawat, tetapi bas terus dipandu laju’