IPOH – Polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, sebaik sahaja lelaki itu dibenarkan keluar dari hospital.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Taiping akibat kecederaan pada tangan yang dialami dalam insiden tersebut.
“Ketika ini lelaki itu masih mendapatkan rawatan di hospital. Kita tunggu dia (pemandu bas) discaj dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Terdahulu, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik semalam, Noor Hisam memaklumkan, pihaknya belum dapat merakam percakapan lelaki berusia 39 tahun itu kerana dia masih berada dalam pemantauan perubatan.
Kata beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi Isnin, di kilometer (km) 53, di Jalan Raya Timur-Barat Jeli-Gerik, 15 pelajar UPSI maut selepas bas yang dinaiki terlibat nahas dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Sementara pemandu bas dan kelindan berusia 54 tahun masing-masing mengalami kecederaan serta menerima rawatan di Hospital Taiping. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas pelajar UPSI: ‘Tidak sangka luar negara itu, negara abadi’ – Ibu mangsa