TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori membawa muatan beras maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Kilometer 378.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, petang Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.57 petang.
Katanya, sejurus selepas itu seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River serta BBP Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kejadian.
“Didapati kemalangan melibatkan tiga buah lori iaitu lori tiga tan jenis Isuzu membawa muatan beras, sebuah lori treler jenis Volvo membawa gulungan besi dan sebuah lori jenis Nissan UD membawa barangan terpakai.
“Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 24 tahun tersepit di bahagian pemandu lori Isuzu dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sementara kelindan lelaki berusia 64 tahun dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurut beliau, operasi penyelamatan dijalankan dengan mengaplikasikan konsep ‘Saver’ selepas komander operasi melakukan penilaian awal di tempat kejadian.
Ujar beliau, anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Tiga lagi mangsa lelaki iaitu dua pemandu lori dan seorang kelindan yang cedera telah diserahkan kepada petugas KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Zaimeer Zulkiflei itu tamat pada jam 5.58 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kemalangan beberapa kenderaan, lebuh raya laluan Behrang-Slim River sesak


