MANJUNG – Kanak-kanak lelaki yang maut dalam nahas di Kilometer 212.3 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan pagi tadi dipercayai tercampak keluar sebelum dilanggar kenderaan lain.
Mangsa tercampak dari kereta jenis Perodua Keliasa yang dinaikinya bersama tiga lagi ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.30 pagi melibatkan tiga buah kenderaan.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun bersama tiga penumpang dipercayai ahli keluarganya dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan.
“Kereta Perodua Kelisa itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.
“Kemudian, sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti tidak sempat mengelak lalu telah melanggar kanak-kanak tersebut.
“Selepas itu, kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Produa Kelisa.
“Kemalangan ini mengakibatkan pemandu kereta Perodua Kelisa cedera manakala penumpang kenderaan itu, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkanya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Baharudin di talian 012-637 5962 atau 05-689 9072,“ ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita bersama anak lelakinya maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan tersebut.
Mangsa maut dikenali sebagai Nor Fadhilah Mohd Azlan dan anak lelakinya, Muhammad Iman Irfan Mohammad Shuqur.
Empat mangsa lain yang cedera adalah pemandu dan penumpang kereta Perodua Kelisa serta pemandu dan penumpang kereta Proton Wira. – MG Perak
Artikel Berkaitan: