Naik harga barang tidak munasabah: KPDN Perak keluar tujuh notis bertulis

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, telah mengeluarkan notis bertulis kepada tujuh premis perniagaan yang disyaki menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 48 premis di seluruh negeri menerusi Ops Kesan 4.0 sejak 1 Julai lalu, susulan pelaksanaan semakan semula kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

Menurutnya, pemeriksaan turut melibatkan 239 Stock Keeping Unit (SKU) bagi tujuan analisis dan pengumpulan data harga untuk memastikan tiada aktiviti pencatutan harga berlaku dalam kalangan peniaga di Perak.

“Selepas mendapati terdapat unsur kenaikan harga barang pada kadar yang tidak munasabah, kami telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

“Premis yang dikenakan notis terdiri daripada enam kedai runcit dan sebuah pasar raya di beberapa daerah termasuk Ipoh, Manjung, Taiping, Tapah dan Teluk Intan,” katanya.

KPDN Perak Ops Kesan 4.0 SST kenaikan harga barang Perak, notis KPDN Perak, Ops Kesan 4.0 Malaysia, SST 2025, peniaga Perak kena tindakan, Akta Kawalan Harga 2011, KPDN semak harga barang
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail melakukan pemantauan penguatkuasaan Ops Kesan 4.0 di Pasar Raya TF Value-Mart Tambun, pada Khamis. Foto Amirrul Rabbani Rashid

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan Ops Kesan 4.0 di Pasar Raya TF Value-Mart Tambun, dekat sini pada Khamis.

Kamalludin berkata, peniaga yang menerima notis berkenaan perlu memberi maklum balas kepada KPDN dalam tempoh enam hari bekerja.

Jelas beliau lagi, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka berdepan tindakan undang-undang lanjut.

“Mereka perlu memperincikan segala maklumat berkaitan harga barangan di premis masing-masing supaya kami dapat menganalisis sama ada benar wujud elemen pencatutan harga atau tidak.

“Semakan lanjut ini melibatkan pelbagai elemen termasuk jenis perkhidmatan, pendaftaran dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), margin keuntungan dan sebagainya.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM500,000, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM1 juta,” jelasnya.

Kamalludin menambah, Ops Kesan 4.0 dilancarkan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan susulan peluasan skop SST yang diumumkan kerajaan sebelum ini

Kata beliau, seramai 195 pegawai penguat kuasa dengan sokongan 75 pegawai pemantau harga telah digerakkan di seluruh Perak untuk menjalankan pemeriksaan harian serta mengumpul data harga barangan keperluan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, setakat ini KPDN Perak hanya menerima satu aduan rasmi berkenaan dakwaan kenaikan harga makanan di sebuah premis di Meru.

“Kami sedang mengumpul maklumat terperinci berkaitan kos daripada peniaga terbabit untuk menentukan sama ada berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah atau sebaliknya,” ujarnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Peluasan SST tidak bebani golongan berpendapatan rendah – DPPM Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI