GERIK – Kerja-kerja menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli akan dilaksanakan mengikut keperluan berdasarkan syor yang dikemukakan dalam laporan Kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak RM55 juta diperuntukan bagi menaik taraf JRTB dengan kerja penilaian bermula 13 Mac dan siap 13 Mei lalu.
“Setakat 5 Jun 2025 kerja PCA ini melibatkan penggunaan teknologi seperti Multi Laser Profiler (MLP); Falling Weight Deflectometer (FWD); Dynamic Cone Penetrometer (DCP) dan Trial Pit.
“Kerja-kerja ini telah selesai dan kini dalam peringkat penyediaan laporan bersama JKR Perak di mana laporan tersebut akan menjadi asas penting dalam merancang kerja-kerja penyelenggaraan turapan atau pavemen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan kerja ke lokasi nahas jalan raya yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) pada Isnin di KM53 JRTB Gerik-Jeli, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain itu terdapat juga program berkala bukan pavemen melibatkan 10 skop kerja utama dengan kos RM14.5 juta seperti pemasangan penghadang, papantanda, penggantian pembetung rosak dan penyenggaraan penghadang jambatan.
Katanya, kerja-kerja itu telah bermula pada 17 April lalu dan dijangka siap sepenuhnya 30 Ogos depan.
Alexander pada 9 Jun mengumumkan tapak nahas melibatkan sebuah bas membawa penuntut UPSI dan sebuah Perodua Alza itu merupakan antara bahagian JRTB yang dikenal pasti bagi kerja menaik taraf tahun ini, dengan peruntukan RM55 juta.
Tambahnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak 2023 untuk menambah baik laluan Gerik–Jeli khususnya di Laluan Persekutuan FT04.
“Dari dahulu lagi memang ada cadangan untuk menaik taraf laluan ini dan kami telah membincangkan perkara tersebut dengan meneroka pilihan yang ada termasuk kemungkinan menaik taraf lebuh raya sedia ada atau memperluaskan lorong memetong.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada laporan yang akan dikeluarkan dan baru kita tahu apa kerja yang perlu kita laksanakan sama ada melibatkan struktur atau sebaliknya,” katanya. -MGPerak
Artikel Berkaitan:
Nahas pelajar UPSI: Pemilik syarikat bas tampil beri keterangan semalam