IPOH — Kerja menaik taraf padang bola sepak di Stadium Perak dijangka siap sekitar September ini susulan beberapa kelewatan melibatkan pematuhan spesifikasi teknikal serta faktor cuaca.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pelaksanaan projek perlu memenuhi semua spesifikasi ditetapkan, termasuk memastikan sistem perparitan berada dalam keadaan baik sebelum keseluruhan kerja dapat disiapkan sepenuhnya.
Menurutnya, jadual asal menetapkan kerja fizikal siap pada Januari sebelum rumput baharu memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan untuk matang dan sesuai digunakan.
“Asalnya kerja dijangka siap sepenuhnya pada bulan Januari dan selepas itu rumput baharu memerlukan masa antara tiga hingga enam bulan sebagai persediaan sebelum padang tersebut boleh digunakan bagi menjalankan aktiviti sukan.
“Cuma sebelum ini ada sedikit kelewatan termasuk faktor cuaca dan yang terkini, kerja untuk membuka rumput yang baharu telah siap sepenuhnya.

“Sekarang fokus kerja berkenaan dengan naik taraf longkang dan sebagainya sebelum meletakkan semula rumput baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, sebelum ini stadium berkenaan dijangka dibuka semula sekitar Mei atau Jun, namun perkembangan terkini menunjukkan pembukaan semula kemungkinan lewat dua hingga tiga bulan daripada jangkaan asal.
Projek yang bermula sejak Jun tahun lalu itu dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta melibatkan penggantian rumput padang jenis Axonopus Putra dengan kos RM842,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cuaca, isu teknikal antara faktor padang Stadium Perak lewat siap


