IPOH – Para peniaga menyambut baik hasrat kerajaan untuk menaik taraf Pasar Besar Ipoh yang menjadi antara bangunan ikonik di bandar raya ini.
Malah, mereka turut memberi reaksi positif terhadap tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menyegerakan kerja-kerja naik taraf pasar berkenaan menerusi peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM15 juta.
Peniaga sayur-sayuran, Muhamad Fitri Yahya, 36, berkata, Pasar Besar Ipoh sememangnya memerlukan pengubahsuaian segera memandangkan usianya telah melebihi 50 tahun.
Beliau yang telah berniaga selama 20 tahun di situ turut mencadangkan agar penambahbaikan yang bakal dilaksanakan melibatkan pengubahsuaian ruang niaga yang lebih selesa dan tersusun.
“Ketika ini ruang niaga kami agak terhad, hanya dipisahkan oleh dinding separuh. Untuk menutup kedai, kami hanya menyelimutkan barang-barang jualan dengan kanvas.
“Jadi saya berharap pihak yang bertanggungjawab dalam kerja naik taraf ini dapat menambah baik ruang niaga serta memasang pintu besi ‘roller shutter’ bagi kemudahan peniaga,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Pasar Besar Ipoh, hari ini.
Sementara itu, peniaga ikan segar, Jasni Abdul Jamal, 57, berkata perancangan menaik taraf Pasar Besar Ipoh diharap mampu memberikan wajah baharu kepada pasar tersebut dan menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau turut berharap penambahbaikan daripada sudut infrastruktur dan fasiilit dapat menjadikan pasar itu sebagai salah satu destinasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Keadaan Pasar Besar Ipoh kini agak suram. Saya harap selepas dinaik taraf, ia kelihatan lebih menarik dan selesa untuk para pengunjung.
“Namun sekiranya peniaga perlu berpindah sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf, kami berharap lokasi alternatif itu tidak terlalu jauh dan mudah diakses,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyarankan agar aspek kebersihan di pasar berkenaan turut dipertingkatkan.
“Dari segi kebersihan, ia memerlukan kerjasama antara pihak MBI dan peniaga. Namun, kita harap ia dapat ditambah baik, terutamanya di kawasan tempat letak kereta awam yang sering berbau kurang menyenangkan dan kelihatan suram,” katanya.
Peniaga sayur-sayuran lain, Mohamad Alimin Asmuni, 32, pula berharap agar sistem pembayaran tempat letak kereta di Pasar Besar Ipoh lebih mesra pengguna, khususnya warga emas.
“Saya sering dengar rungutan pengunjung, terutama warga emas, yang sukar meletakkan kenderaan di kawasan parkir bawah kerana perlu menggunakan aplikasi telefon pintar untuk membuat bayaran.
“Oleh sebab itu, ramai yang datang ditemani anak atau terpaksa meletak kereta di luar kawasan pasar. Jika terlalu menyusahkan, mereka memilih untuk ke pasar lain,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: