PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Selain hukuman pemenjaraan dan denda, mahkamah turut memerintahkan Najib membayar jumlah boleh dipulihkan sebanyak RM2,081,476,926 di bawah Seksyen 55(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Jika gagal membayar jumlah itu, beliau dikenakan hukuman penjara dua tahun enam bulan.
Sementara itu, hakim turut merekodkan bahawa Najib tidak memohon bagi penangguhan hukuman, bagaimanapun dengan kebebasan berbuat demikian pada masa hadapan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu disabitkan melakukan kesalahan salah guna kedudukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman.
Pasukan pendakwaan pada asalnya diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum meninggal dunia pada Januari 2023.
Selepas itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Natasha Chin Le Jy, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud. – MalaysiaGazette


