Naratif `kekal atau keluar kita yang tentukan’ kenyataan sangat berat – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR – Naratif `kekal atau keluar, kita yang tentukan’ yang mahu dibawa pada konvensyen khas Pemuda UMNO bagi membincangkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai kenyataan yang sangat berat.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ia bukan sekadar membangkitkan perbincangan dasar tetapi memberi isyarat seolah-olah keputusan strategik parti boleh ditentukan melalui tekanan emosi dan mobilisasi segera bukan melalui struktur dan proses parti yang sah.

Menurutnya, dalam organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti bukan ditentukan oleh satu sayap, apatah lagi melalui tekanan awam yang boleh ditafsir sebagai ugutan politik dalaman.

Selain itu, tambah beliau, apabila isu hala tuju parti dibawa terus ke ruang awam dengan nada ultimatum, ia membuka ruang persepsi bahawa UMNO sedang berpecah dari dalam.

Tegasnya, ia bukan sahaja melemahkan Presiden dan kepimpinan tertinggi, tetapi juga memberi peluru percuma kepada lawan dan pemerhati politik.

“Pemimpin muda perlu faham satu perkara penting, keberanian bersuara mesti disertai kebijaksanaan menjaga maruah parti,” katanya dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk mengulas mengenai hasrat Pemuda UMNO megadakan konvensyen khas pada Sabtu ini, bagi membincangkan mengenai kedudukan parti itu dalam kerajaan hari ini.

Menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, konvensyen khas itu bakal menjadi platform kepada semua ahli UMNO sama ada peringkat akar umbi atau kepimpinan meluahkan isi hati termasuk sama ada mahu keluar atau meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

Sementara itu, Nurulhidayah berkata, meskipun konvensyen itu wajar sebagai wadah perbincangan namun mesej yang mengiringinya sangat menentukan kesan.

Ujarnya, jika tujuan sebenar ialah memperkukuh UMNO, maka perbahasan berkenaan hala tuju itu perlu berlangsung dengan bahasa membina, bukan bahasa menghina dan menekan.

“Berbahaslah dengan hujah, bukan emosi. Dengan adab, bukan populariti. UMNO bukan milik satu generasi, bukan milik satu sayap, dan bukan milik individu yang paling lantang.

“UMNO adalah amanah perjuangan panjang, yang memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan kesetiaan kepada struktur, walaupun kita tidak bersetuju dengan semua keputusan,” katanya.

Tambahnya, meskipun bersuara itu merupakan hak dan perasaah gelisah itu normal, tetapi menggambarkan parti seolah-olah di persimpangan `kekal atau keluar’ secara terbuka bukan budaya kepimpinan UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI