TELUK INTAN – Nasi goreng tomyam dipercayai menjadi punca kepada 43 pelajar Sekolah Menengah San Min di Jalan Sungai Nibong, dekat sini, mengalami keracunan makanan pada 21 April lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, kes itu mula dikesan apabila dua pelajar mengalami gejala keracunan makanan pada 22 April, sebelum notifikasi rasmi diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak dua hari kemudian.
Katanya, susulan itu, pihak PKD menjalankan siasatan lanjut ke atas sekolah terbabit berhubung insiden tersebut dan mendapati 41 lagi pelajar mengalami gejala yang sama.
“Kesemua mereka merupakan pelajar yang tinggal di asrama dan berumur antara 13 hingga 18 tahun. Gejala yang dilaporkan ialah sakit perut (76.7 peratus), cirit-birit (62.8 peratus), muntah (51.2 peratus) dan demam (16.3 peratus).
“Semua pelajar terbabit telah menerima rawatan pesakit luar dan tiada yang dimasukkan ke wad,” katanya pada sidang media berkenaan isu tersebut di Sekolah Menengah San Min, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Hilir Perak merangkap Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Siti Rohani Nurumal.
Menurut Sivanesan, mereka yang mengalami wabak keracunan makanan itu merupakan 7.6 peratus daripada keseluruhan 563 pelajar di sekolah terbabit.
Beliau berkata, lapan sampel pelbagai jenis telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan dua daripadanya didapati positif jangkitan norovirus dan sapovirus, manakala baki masih dalam siasatan lanjut.
Tambahnya, susulan itu PKD Hilir Perak mengarahkan agar kantin di Sekolah Menengah San Min ditutup selama empat hari bermula 25 April, mengikut peruntukan Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
“Pihak pengurusan sekolah, khususnya pengurusan kantin, telah mengambil tindakan penambahbaikan seperti yang diarahkan. Setelah penilaian semula dijalankan, premis telah dibenarkan beroperasi semula,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr. Siti Rohani memberitahu bahawa pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian gejala keracunan makanan, di samping memastikan insiden tersebut tidak berulang.
“Berdasarkan siasatan, terdapat pencemaran silang berlaku pada makanan. Namun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar wabak keracunan makanan ini, berikutan keputusan sampel air masih belum diperoleh,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya juga telah mengarahkan agar lima daripada 14 pekerja kantin sekolah tersebut mendaftarkan diri untuk menghadiri kursus formal pengendalian makanan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keracunan makanan SK Chepor: Pengusaha kantin bakal didakwa di mahkamah