Negara Islam perlu berbincang atasi rasuah disebabkan kemiskinan

IPOH – Satu perbincangan mendalam mengenai rasuah dalam kalangan negara-negara Islam yang merekodkan kemiskinan tertinggi perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, ini kerana negara-negara miskin kebanyakannya merupakan negara yang mempunyai tahap rasuah tertinggi di dunia.

“Satu perbincangan mendalam perlu dibuat sama ada rasuah menyebabkan kemiskinan atau kemiskinan yang menyebabkan rasuah.

“Ini satu bidang yang harus dilihat secara jelas dan dikupas supaya pembentukan dasar polisi awam untuk mengatasi perkara ini dapat dibuat.

“Paling penting sekali ialah tiap-tiap negara harus membuat dignosis, kajian ke atas punca-punca kenapa rasuah berleluasa di negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas menjadi panel Forum Tadbir Urus dan Integriti sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini, pada Rabu.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika sesi forum bertajuk ‘Tadbir Urus dan Integriti’ pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 31 JULAI 2024.

Mengulas lanjut, Abu Kassim berkata, kajian yang dijalankan itu boleh dibuat rangka tindakan bagi mengatasi masalah dihadapi.

Jelas beliau setiap negara mempunyai perbezaan pengalaman, struktur, undang-undang, perlembagaan dan struktur ekonomi di mana tidak ada satu ubat menyelesaikan semua.

“Sebab itu mereka kena kaji dan melihat kesan kepada masalah tersebut bagi mengatasi rasuah dan dengan adanya kajian berkenaan, maka bolehlah dibentuk satu dasar yang berkesan untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Sementara itu beliau menjelaskan Malaysia antara negara Islam yang konsisten mencatatkan markah melebihi 50 peratus di dalam Indeks Persepsi Rasuah.

“Malaysia konsisten kerana mempunyai dasar untuk memerangi rasuah daripada dulu lagi pada tahun 1990-an sehingga ke hari ini tidak putus-putus mempunyai dasar melihat bagaimana isu rasuah ini hendak diatasi.

“Konsistensi ini berdasarkan kajian dan analisis berimpak tinggi,” katanya lagi.

Selain Abu Kassim, forum berkenaan turut menampilkan Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Bekas Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, Dr Grace Naledi Mandisa Pandor manakala Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil bertindak sebagai moderator. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tuduhan rasuah: Polis siasat hantaran Facebook kaitkan Tunku Mahkota Ismail

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI