LARUT – Negara memerlukan sekurang-kurangnya 40,000 hektar tanaman nanas bagi memenuhi permintaan pasaran eksport sebanyak 4,000 kontena atau 88,000 tan terutamanya ke negara-negara di Eropah.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata, buat masa ini terdapat lebih 18,000 hektar tanaman nanas di seluruh negara melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak 500,000 tan metrik setahun.
Beliau berkata, LPNM bukan sahaja menerima permintaan tinggi nanas terutamanya varieti MD2 bagi pasaran eksport malah juga untuk kegunaan domestik.
“Kita memerlukan 4,000 kontena dan untuk memenuhi jumlah tersebut hasil pengeluaran tanaman perlu sekurang-kurangnya satu juta tan metrik.
“Sekarang ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kita akan mencapai 20,000 hektar tanaman jadi kita perlukan lagi 20,000 hektar untuk mencapai pengeluaran satu juta tan metrik setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Hari Nanas Malaysia (HANA) Negeri Perak 2025 di SAS Homestay & Campsite Sungai Siputeh, Selama di sini pada Isnin.
Hadir sama Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Zolkafly Harun dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali.
Tambah beliau, beberapa inisiatif lain juga sedang dan akan dilaksanakan LPNM dalam menambah hasil pengeluaran nanas termasuk dengan memperkenalkan varieti SG1 serta penggunaan teknologi moden.
Sementara itu, Sheikh Umar dalam ucapanya berkata Jelajah HANA Negeri Perak 2025 berkata program berkenaan merupakan usaha strategik LPNM dalam menyantuni masyarakat, mempromosikan industri serta mendekatkan rakyat dengan potensi buah tropika berkenaan.
Beliau berkata, HANA 2025 akan diadakan secara besar-besaran di Johor Bahru pada 27 hingga 29 Jun hadapan.
“Perak bukan sekadar lokasi persinggahan. Perak adalah negeri yang aktif dalam industri nanas negara. Perak antara negeri yang dilihat semakin aktif dalam perluasan tanaman nanas.
“Saya dimaklumkan antara varieti utama yang diusahakan ialah Moris dan MD2 di mana dua varieti ini bukan sahaja mempunyai nilai pasaran yang tinggi, malah telah menembusi pasaran antarabangsa terutama bagi variety MD2,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan: