KUALA LUMPUR – Perdagangan rokok seludup terus menyebabkan Malaysia menanggung kerugian kira-kira RM10 bilion setahun, merangkumi anggaran RM5 bilion hasil cukai yang tidak dipungut serta tambahan RM5 bilion perbelanjaan awam berterusan bagi membiayai usaha penguatkuasaan untuk menangani masalah berpanjangan ini, menurut Advokasi Perusahaan dan Industri (API) hari ini.
Jumlah ini tidak termasuk peruntukan Persekutuan kepada Kementerian Dalam Negeri berjumlah RM19 bilion pada tahun 2024 dan RM19.5 bilion pada tahun 2025.
Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin berkata, selain kerugian kira-kira RM5 billion hasil cukai, pengeluar, pengedar dan peruncit sah pula masih berdepan persaingan tidak adil daripada produk yang tidak dikenakan cukai dan tidak dikawal selia.
Selain itu, kira-kira RM5 bilion dibelanjakan kerajaan setiap tahun untuk melengkapkan dan melatih pegawai penguat kuasa serta melaksanakan aktiviti pembanterasan penyeludupan
“Kita pada asasnya terus membelanjakan wang yang besar untuk menangani masalah yang sama saban tahun. Membelanjakan RM5 bilion atau lebih untuk mendapatkan semula RM5 bilion adalah tidak masuk akal,” tambah beliau.
Beliau mengulas kenyataan terkini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa RM15.5 bilion yang berjaya dipulihkan melalui tindakan penguatkuasaan dalam tempoh dua tahun lalu mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan skala sebenar ketirisan dana awam, walaupun usaha penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.
Jelasnya, selain kerugian fiskal, perdagangan haram mewujudkan padang permainan yang tidak seimbang bagi perniagaan patuh yang memenuhi tanggungjawab cukai dan peraturan, sekali gus melemahkan integriti pasaran, memesongkan struktur harga dan menjejaskan keyakinan terhadap persekitaran operasi.
Beliau menambah bahawa isu ini melangkaui penyeludupan di sempadan semata-mata kerana ia melibatkan rantaian bekalan yang adaptif, kelemahan dalam kawalan import dan ketersediaan berterusan di peringkat runcit.
Fazli berkata, selagi produk seludup kekal jauh lebih murah dan mudah diperoleh, penguatkuasaan semata-mata akan berdepan keterbatasan yang ketara.
API mengiktiraf peranan penting Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain dalam melindungi hasil negara dan keselamatan.
Namun, kejayaan jangka panjang perlu diukur berdasarkan sama ada aktiviti pasaran haram benar-benar berkurangan dari semasa ke semasa, bukan sekadar berdasarkan nilai rampasan yang direkodkan,” tambah beliau.
Lantaran itu, API mengulangi gesaannya agar strategi yang lebih memfokuskan kepada permintaan dilaksanakan bagi menangani perdagangan haram, sambil menegaskan bahawa penguatkuasaan semata-mata tidak mampu menyelesaikan ketidakseimbangan pasaran yang didorong oleh jurang harga yang berterusan.
“Menangani faktor struktur yang mendorong penggunaan produk seludup, termasuk pengherotan harga, kelemahan rantaian bekalan dan insentif pengguna, adalah kritikal bagi memulihkan persaingan yang adil, melindungi perniagaan patuh serta mengukuhkan daya saing ekonomi jangka panjang negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette


