Nelayan, pembantu kedai ditahan bersama 21 kg Heroin

IPOH – Polis menahan seorang nelayan dan pembantu kedai bersama 21 kilogram (kg) Heroin ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Taiping sejak tiga bulan lalu, pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dua lelaki yang masing-masing berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta jenis Proton Waja, di Jalan Medan Simpang, Simpang sekitar jam 11.15 malam.

Katanya, ketika ditahan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menemukan 46 bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah dalam sebuah guni yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Nelayan, pembantu kedai ditahan bersama 21 kg Heroin
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada sidang media berkenaan kejayaan anggota polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Taiping, pada Sabtu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 MEI 2024.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM262,275 dan hasil ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morphine.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Perak, pada Isnin.

Tambah Mohd Yusri, selain dadah, polis turut merampas kereta berkenaan bersama dua telefon bimbit kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

Nelayan, pembantu kedai ditahan bersama 21 kg Heroin
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (dua, kiri) menunjukkan bungkusan guni dan kunci kenderaan milik suspek ketika tinjauan MG Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 MEI 2024.

Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan selain ia boleh digunakan 20,000 penagih di Perak.

“Kita tidak menolak kemungkinan dadah-dadah itu diperoleh dari kawasan di utara Perak, namun siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula 4 Mei bagi membantu siasatan,” ujarnya lagi.

Dalam sidang media sama, Mohd Yusri memaklumkan, JSJN IPK Perak berjaya membuat rampasan dadah berjumlah RM4.10 juta dalam tempoh Januari sehingga 5 Mei.

Jelas beliau, ia jumlah rampasan dadah itu membabitkan tangkapan terhadap keseluruhan 7,171 orang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan bungkusan dadah jenis Heroin dianggarkan bernilai RM 262,000 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pagi tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 06 MEI 2024.

“Ia membabitkan seramai 946 orang ditangkap kerana membekal, 2,012 orang (memiliki), 48 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta 4,165 orang ditangkap disebabkan positif ujian saringan air kencing.

“Bagi Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 264 orang sudah dituduh di mahkamah,” katanya lagi.

Tambah Mohd Yusri, bagi pecahan rampasan dadah, sebanyak 54.93 kg syabu bernilai RM 3.13 juta, telah dirampas dalam tempoh sama.

“Turut dirampas, 0.328 kg pil ecstasy dengan nilai RM7,227; 0.592kg pil yaba (RM6,519); 1.157kg pil Erimin 5 (RM51,760) dan 0.019 kg kafein (RM6,587); 2.522 kg ganja (RM25,220) dan 40.911 kg heroin (RM634,895).

“Keseluruhan nilai sitaan harta bagi kesemua rampasan dadah berkenaan adalah RM4.24 juta,” jelasnya. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Lelaki positif dadah, Myvi dipandu tersangkut pada jambatan motosikal

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI