Nenek, cucu saudara maut kemalangan dalam perjalanan ke sekolah

ALOR SETAR – Seorang nenek dan cucu saudaranya yang berusia tiga tahun maut ketika dalam perjalanan menghantar abang kanak-kanak itu ke sekolah di Jalan Padang Sanai, berhampiran Kampung Padang Nyior, dekat Padang Terap, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Affzanisham Mohammad Sham berkata dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, Che Ramlah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya, Auni Afiqah Hadi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Abang kanak-kanak itu, Abdul Hafiz Hadi yang berusia sembilan tahun dan merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Terap pula cedera di dagu dan gigi.

“Polis menerima panggilan berhubung kemalangan pada 6.55 pagi membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dengan sebuah motosikal. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu kenderaan MPV itu dalam perjalanan dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya, Padang Sanai.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan yang datang dari arah bertentangan dipercayai hendak memotong kereta lain yang berada di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan mereka bertembung dengan MPV itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng belakang motosikal yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI