Nenek maut motorsikal terbabas ketika cuba elak anjing lintas jalan

IPOH – Seorang wanita warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai cuba mengelak anjing liar melintas dalam kejadian di Jalan Pusat Perniagaan Silibin 1, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian sekitar jam 7.15 pagi itu, mangsa, Rohani Nek, 69, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Rohani dipercayai baru menghantar cucunya, Adam Mikeil Shaizul Nizam, 11, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Silibin sebelum terlibat dalam insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari arah Taman Silibin menghala ke Jalan Jelapang.

“Apabila tiba di lokasi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,“ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, cucu mangsa, Nur Farah Allysha Shaizul Nizam, 18, berkata, neneknya setiap hari menghantar adiknya ke sekolah menaiki motosikal dan laluan yang digunakan terdapat banyak anjing liar berkeliaran.

Dia mendakwa, ketika kejadian ketika kejadian, kira-kira lima ekor anjing mengejar motosikal ditunggang neneknya sewaktu menghantar adiknya ke sekolah.

“Saya tidak sangka nenek terlibat dalam kemalangan ketika cuba mengelak anjing liar melintas,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Jalan Budiman, Kampung Tengku Hussin Baru, Manjoi di sini.

Nur Farah Allysha berkata, nenek sering menyatakan rasa takutnya dikejar anjing liar tetapi dia tiada pilihan kerana itu merupakan laluan utama pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, anak mangsa, Shazrin Mohd Mokhtar, 48, memohon supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil iktibar menerusi insiden yang menimpa ibunya.

Shazrin Mohd turut mendakwa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan ketika kejadian terdapat seekor anjing melintas jalan ketika ibunya melalui kawasan tersebut

“Saya bimbang jika perkara ini tidak diatasi segera mungkin akan berlaku kejadian tidak diingini kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Identiti mangsa rentung kemalangan Teluk Intan-Bidor dikenal pasti

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI