TAIPING – Seorang nenek kepada enam cucu melahirkan rasa syukur dan gembira apabila kediamannya terpilih antara 21 rumah yang dibaik pulih melalui Projek Kampung Angkat MADANI TVET di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Changkat Jering dekat sini, pada Selasa.
Mek Habibah Mahmud, 67, berkata usaha mengecat semula rumah separuh papan tinggalan arwah suaminya itu sedikit sebanyak mampu mengukir senyuman buat dirinya.
“Apabila saya dimaklumkan rumah saya terpilih untuk dicat baharu, saya menerimanya dengan hati terbuka dan penuh kesyukuran,” katanya yang dilahirkan setahun selepas negara mencapai kemerdekaan.
Beliau ditemui ketika Sesi Lawatan Pemantauan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail terhadap pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI TVET di sini, pada Selasa.
Mek Habibah berkata, walaupun ruang atas rumah tidak lagi digunakan, usaha mengecat semula itu tetap menambahkan lagi keceriaan pada kediaman berkenaan.
Katanya, meskipun tinggal bersendirian, dua anaknya yang kini telah berkeluarga sering datang menjenguk bagi melihat keadaan dirinya.
Menurut Mek Habibah, rumah yang telah berusia puluhan tahun itu menyimpan pelbagai kenangan manis, terutamanya ketika dia masih tinggal bersama arwah suaminya yang meninggal dunia pada awal tahun ini.
“Saya sekarang kerap mengalami sakit lutut, dan disebabkan itu anak-anak menyarankan saya tidur di bilik di bahagian bawah.
“Malah, ia juga memudahkan pergerakan saya yang uzur ini kerana lebih dekat dengan dapur dan bilik air,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd Zahari berkata, seramai 162 pensyarah dan pelajar daripada 10 institusi di bawah rangkaian Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara terlibat dalam projek berkenaan.
Menurut beliau, projek yang berlangsung dari 5 hingga 20 Ogos itu antara lain melibatkan kerja menaik taraf dan melestarikan landskap kampung, pembinaan gazebo untuk kegunaan rekreasi, serta pelaksanaan pendawaian elektrik fasa tunggal bagi rumah-rumah yang memerlukan.
“Sebelum kerja pembaikan dijalankan, seramai 16 pegawai PolyCC telah turun padang bagi menjalankan lawatan tapak dan penilaian awal ke atas rumah-rumah yang terlibat.
“Pasukan projek ini diketuai Kolej Komuniti Bagan Serai, dengan penyertaan daripada Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Jeli (PJK), Politeknik Bagan Datuk (PBD), Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) dan lain-lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kampung Angkat MADANI: Projek RM1.2 juta beri manfaat 600 penduduk