KUALA LUMPUR – NexG Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) menerima kontrak enam tahun daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pembekalan penyelesaian kad pengenalan nasional Malaysia termasuk MyKad, MyTentera dan MyPOCA.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, kontrak yang akan bermula 1 Jun tahun depan itu mempunyai nilai keseluruhan kira-kira RM733 juta adalah bagi menaik taraf MyKad.
“Penganugerahan ini adalah susulan daripada kontrak pembekalan Pasport Antarabangsa Malaysia bernilai RM1.73 bilion yang diperoleh pada 29 Ogos 2025.
“Ia menyerlahkan pandangan jauh Kerajaan dalam melabur untuk infrastruktur identiti nasional yang selamat dan sedia masa hadapan serta keyakinan berterusannya terhadap NexG sebagai rakan kongsi yang dipercayai di Malaysia,” katanya.
Katanya, MyKad generasi baharu itu merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh sekuriti identiti dan mempercepat transformasi digital Malaysia.
Ia bukan sekadar kad pengenalan, tetapi kunci digital nasional yang selamat dan asas kepada jejak digital Malaysia.
Dengan ketahanan yang dipertingkat dan ciri-ciri keselamatan berbilang lapisan, ia direka untuk menentang pemalsuan, melindungi daripada pengubahan atau pengusikan, dan memastikan kebolehpercayaan jangka panjang, sambil membolehkan rakyat menyertai ekonomi digital dengan selamat.
Infrastruktur itu dijangka memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai cara termasuk akses kepada subsidi berperingkat dan bersasar merentasi bahan api, makanan, pengangkutan, pendidikan dan kebajikan.
Ia juga membolehkan penyampaian bantuan kewangan dan manfaat kebajikan yang selamat dan telus serta mengurangkan risiko penipuan atau ketirisan.
Kad pengenalan generasi baharu itu juga berkeupayaan melaksanakan transaksi digital dan pengesahan biometrik merentasi bank, syarikat telekomunikasi, syarikat insurans dan syarikat teknologi kewangan (fintech).
Ia juga memberi akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan secara digital, seperti pembaharuan, permit dan permohonan.
Selain itu, MyKad generasi baharu itu juga menyediakan integrasi lancar dengan penyelesaian penjagaan kesihatan, pengangkutan dan bandar pintar, di mana satu ID membolehkan akses kepada pelbagai perkhidmatan penting.
“MyKad dinaik taraf generasi akan datang ini akan melengkapkan inisiatif ini dengan menyediakan rakyat Malaysia asas fizikal dan digital yang selamat, sejajar dengan wawasan Kerajaan yang lebih luas untuk sebuah ekosistem digital yang selamat, inklusif dan sedia masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, syarikat bersedia untuk mengembangkan pasaran dan menawarkan penyelesaian identiti selamat dan kepercayaan digital ke peringkat global seperti Asean dan Afrika.
“Digabungkan dengan kontrak pasport bernilai RM1.73 bilion, penganugerahan dua projek ID nasional secara berturut-turut ini memberikan NexG keterlihatan dan kestabilan pendapatan jangka panjang untuk sekurang-kurangnya enam tahun akan datang.
Lebih penting lagi, ia menyediakan asas bagi kami untuk membawa inovasi tempatan Malaysia yang bertaraf global ke persada dunia,” katanya.
Secara keseluruhan, kontrak pasport dan MyKad secara berturutan bernilai RM2.4 bilion ini memberikan NexG asas yang kukuh dan kalis kemelesetan daripada hasil berulang.
Ia sekali gus memastikan ketahanan melalui kitaran ekonomi serta keterlihatan pendapatan yang stabil untuk tahun-tahun mendatang.
Asas yang kukuh itu katanya, membolehkan NexG melabur dengan yakin dalam inovasi, mengembangkan portfolio penyelesaian identiti selamat dan kepercayaan digital, serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan. -MalaysiaGazette