KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap tragedi menyayat hati yang meragut nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan menyifatkan insiden yang berlaku di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa, tetapi juga kepada seluruh pasukan keselamatan dan negara.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga 10 orang anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) yang kehilangan nyawa serta pemandu lori dan anggota yang tercedera dalam kemalangan jalan raya pada 13 Mei 2025,” katanya.
Sebagai langkah awal untuk membantu keluarga mangsa, beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Steven Chaw menziarahi ahli keluarga yang terbabit serta mencari jalan bagi menghulurkan bantuan segera.
“Ini adalah satu tragedi yang amat menyayat hati. Sesungguhnya pemergian mereka adalah satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan dan negara kita. Jasa bakti serta pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang.”
Kor Ming turut mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan bersama ihsan yang soleh dan beriman,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan sehingga kini seramai sembilan anggota FRU terkorban dalam kemalangan yang membabitkan trak FRU serta lori muatan pasir. Kesemua mangsa termasuk yang cedera kini dirawat di Hospital Teluk Intan. – MalaysiaGazette