IPOH – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan menggesa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya bertindak telus dan terbuka dalam mendedahkan prosedur pelupusan anjing terbiar termasuk pelaksanaan kaedah Put To Sleep (PTS).
Gesaan itu dibuat susulan penularan sebuah video yang menimbulkan dakwaan kononnya anjing-anjing terbiar ditanam hidup-hidup oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit, sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya aktivis haiwan.
Pengerusi Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan Ipoh (ISPCA), Ricky Soong meminta supaya langkah dalam proses pelupusan tersebut didedahkan secara terperinci bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran terhadap prinsip kebajikan haiwan.
“Kita mahu perkara ini didedahkan secara telus, dari proses tangkapan sehinggalah ke peringkat pelupusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perhimpunan aman melibatkan 100 ahli NGO pencinta haiwan berhampiran Padang Ipoh sebelum menyerahkan memorandum kepada MBI di sini, pada Rabu.
Semalam media melaporkan, MBI menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya menanam anjing hidup-hidup di Pusat Kurungan Haiwan, Lahat, di sini seperti yang tular di media sosial.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Korporat MBI itu, tindakan pelupusan haiwan tersebut adalah sebahagian daripada SOP yang ditetapkan dalam pengurusan haiwan terbiar, selaras dengan garis panduan serta perundangan sedia ada. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MBI terima lebih 900 aduan berkaitan anjing sehingga Julai