KAMPAR – Niat Penghulu Mukim Teja untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler semalam.
Anak sulungnya, Abu Dzar Hanapiah, 29, berkata, mereka sekeluarga akan cuba menunaikan hajat arwah ayahnya untuk melaksanakan ibadah tersebut pada Hari Raya Aidiladha ini.
Menurutnya, selain itu, arwah turut menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah bersama ibu dan adik-adiknya pada tahun hadapan.
“Arwah ayah ada niat untuk buat korban pada tahun ini. InshaALLAH kami akan tunaikan.
“Sebelum ini, arwah ayah juga pernah memberitahu mak untuk membawanya dan dua adik saya mengerjakan umrah selepas dia pencen pada tahun hadapan,” katanya selepas ditemui di rumah mereka di Kampung Ayer Papan, di sini, pada Khamis.
Anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah pada Isnin lalu.
“Kali terakhir saya bertemu arwah ayah adalah pada cuti umum Isnin lalu. Arwah ayah dilihat sangat mesra dengan anak lelaki saya.
“Arwah juga sempat menyuapkan makanan kepada cucu sulungnya itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengetahui kejadian yang menimpa ayahnya menerusi sepupunya sebelum memaklumkannya kepada ibunya.
Katanya, ibunya yang mengalami strok pada bahagian kiri badan sejak 2021 terkejut dengan berita kemalangan tersebut.
Jenazah, Hanapiah Ismail, 59, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian Tanjung Tualang pagi tadi yang dihadiri ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat setempat.
Semalam media melaporkan, Penghulu Mukim Teja maut dalam keadaan tertimbus muatan batu tar selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar.
Akibat kemalangan itu, mangsa yang sudah 19 tahun memegang jawatan penghulu di beberapa mukim seluruh Perak meninggal dunia di lokasi kejadian. – MG Perak
Artikel Berkaitan: