Nik Elin: Jangan provokasi 3R melampau di media sosial – KPN

IPOH – Polis mengingatkan semua pihak untuk tidak memuat naik hantaran melampau di media sosial dengan menyentuh soal kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dikaitkan dengan isu Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menggugat ketenteraman awam.

“Apabila ada pihak-pihak yang cuba mendatangkan kegusaran awam dengan menyentuh isu 3R, dan jika ada laporan, kita akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Tambah-tambah pula dalam isu melibatkan perkara yang menghina institusi mahkamah,” katanya.

nik elin 3r ketua polis kaum agama diraja provokasi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hadir ke Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Markas Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah PGA Jabatan KDNKA, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi serta Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya yakin pihak yang terkesan dengan isu berkenaan akan tampil membuat laporan bagi memberi ruang kepada siasatan dan tindakan pihak polis.

“Saya dimaklumkan akan ada laporan polis yang dibuat. Mungkin laporan polis berhubung perkara itu akan buat sama ada pada hari ini, atau esok,” ujarnya lagi.

nik elin 3r ketua polis kaum agama diraja provokasi
Suasana sekitar Majlis Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 FEBRUARI 2024.

Terdahulu, media melaporkan polis telah mengenal pasti identiti tiga pemilik akaun media sosial yang dipercayai memberi ugutan bunuh kepada Nik Elin Zurina.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, terdapat tiga laporan diterima membabitkan kes tersebut dan tiga kertas siasatan telah dibuka.

Pada Sabtu, Nik Elin Zurina memaklumkan menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya itu sebelum membuat tiga laporan polis.

Sebelum itu, pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Identiti pemilik akaun media sosial ugut bunuh Nik Elin Zurina dikenalpasti

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI