TAPAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Saarani Mohamad berharap calon parti itu yang berjaya mendapat nombor satu pada pengundian untuk kedudukan kertas undi sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan kekal ‘pemenang‘ pada PRK ini.
Menurutnya, walaupun pergerakan penyokong BN agak perlahan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka, di sini pagi tadi namun sesi pengundian nampaknya seperti memihak kepada parti itu.
“Menariknya kerana kita terlampau ramai (penyokong BN) maka pergerakan kita tersangkut-sangkut, jadi kita sampai ke pagar itu (Pusat Penamaan Calon) lebih kurang jam 9 pagi.
“Calon Pas sudah tiba lebih awal dia masuk maka dia diumumkan mendaftar pada jam 9.01 pagi, calon BN daftar 9.30 pagi dan calon PSM.
“Tapi bila undi calon BN dapat nombor satu, calon PN dapat nombor dua, calon PSM nombor tiga, gayanya itulah keputusan PRK ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Makan Tengah Hari dan Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Petai di Bilik Gerakan PDM Changkat Petai, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon PRK DUN N.48 Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PSM.
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Tapah, Mohamad Yusri; manakala PN pula mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek dan PSM Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRK Ayer Kuning: Zahid nafi Pemuda UMNO boikot, tegaskan sokongan padu semua jentera