Noor Shaziah tetap mengundi, walau berbaki 10 minit

TAPAH – Walaupun masa berbaki 10 minit sebelum pusat mengundi ditutup, Noor Shaziah Mohamad tidak gagal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Sabtu.

Noor Shaziah berkata, meskipun kesuntukan masa kerana berkerja namun dia berusaha untuk sampai ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Panglima Perang Kiri Tapah Road.

Dia yang membuang undi di saluran empat juga berkongsi keterujaan apabila memberitahu, PRK ini merupakan pengalaman kali pertama mengundi secara hadir ke pusat mengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu saya mengundi secara undi pos kerana terpaksa bertugas pada hari pengundian.

“Dan pada kali ini saya seronok apabila merasai pengalaman menjalani proses pengundian secara fizikal seperti mencelup jari pada dakwat biru dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi SMK Dato Panglima Perang Kiri Tapah Road.

Pada masa sama Noor Shaziah berkata, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK berkenaan.

“Mengundi pada pilihan raya ini adalah merupakan tanggungjawab bagi setiap seorang individu yang berdaftar dalam memilih kepimpinan.

“Dan saya amat berharap agar pemimpin yang bakal dilantik di DUN Ayer Kuning akan memainkan peranan penting terhadap segala permasalahan rakyat,” katanya lagi.

Kesemua 19 pusat mengundi di DUN Ayer Kuning yang mula dibuka pada jam 8 pagi ditutup secara rasmi pada jam 6 petang.

Ia kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Sebaik sahaja pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 63 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Merdeka, di sini.

Proses pengundian melibatkan 31,281 pengundi berdaftar bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu, namun SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 54 peratus, setakat jam 4 petang.

Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seawal jam 9 malam.

PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

19 pusat mengundi PRK Ayer Kuning ditutup

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI