IPOH – Polis masih belum membuat sebarang tangkapan susulan kes nota berbaur ugutan yang ditemukan bertaburan di ruang hadapan rumah ibu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, di Ayer Tawar, Manjung, awal bulan ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat ini polis juga sudah merakam percakapan 11 individu termasuk ibu bapa dan jiran berhampiran bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Selain itu, kita turut menjalankan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tol Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan stesen minyak berhampiran.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkan kepada kita untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Polis ke-217 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Isnin.
Dalam kejadian 7 Mac lalu, ruang hadapan rumah ibu kepada Kor Ming dihujani nota berbaur ugutan di Ayer Tawar, Manjung dengan tulisan ‘Nga Kor Ming jangan cabar islam’ dan percaya perkataan tersebut mempunyai niat yang tidak baik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis sahkan rakam keterangan ibu Kor Ming serta enam individu lain
Nota ugutan Jangan Cabar Islam di hadapan rumah ibu Kor Ming