Notis kekosongan DUN Ayer Kuning diserah secara rasmi kepada SPR

IPOH – Notis Kekosongan Luar Jangka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning diserahkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, Pada Jumaat.

Penyerahan notis itu dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Nazri Ismail sambil disaksikan Timbalan Speaker DUN Perak, Jenny Choi Tsi Jen dan Penolong Setiausaha DUN Perak, Amir Fadli Mohamed Halmi.

Mohammad Zahir berkata, beliau telah menerima pemakluman daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung kematian ADUN Ayer Kuning iaitu Allahyarham Ishsam Shahruddin pada awal minggu ini.

“Sehubungan itu, selaras dengan Perkara 36 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, kekosongan luar jangka ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering mengutarakan isu-isu daripada kawasannya.

“Allahyarham juga aktif dan komited dalam badan legislatif Perak dan turut dilantik dalam dua Jawatankuasa Dewan Negeri iaitu Jawatankuasa Kebajikan Ahli dan Jawatankuasa Pilihan Khas Haiwan Berkeliaran Perak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Zahir percaya SPR akan mengambil kira Persidangan DUN Perak yang dijangka berlangsung pada pertengahan April dalam menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

“Kita percayalah SPR tentulah mengambil kira perkara yang tersebut (dalam menentukan tarikh-tarikh penting itu),” katanya.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan penyandang, Ishsam 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, akibat serangan jantung, pada 22 Februari lalu.

Untuk rekod, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, Perikatan Nasional, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.

Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari AMANAH yang mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), K Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Notis Kekosongan DUN Ayer Kuning diserah kepada SPR Selasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI