IPOH – Kerajaan Negeri Perak memohon agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula peruntukan sebanyak RM20 juta bagi tujuan kajian deposit sumber mineral di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu diperlukan bagi menyusun dan menilai semula semua permohonan mendapatkan tenemen mineral bagi pengekstrakan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) agar lebih teratur.
“Ia juga bertujuan untuk memfokuskan kepada kawasan yang telah dikenal pasti tinggi dengan sumber mineral NR-REE bagi menjamin kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Steven Tiw Tee Siang (PH-Tronoh) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Menjawab soalan lisan, Saarani (BN-Kota Tampan) memaklumkan bahawa hasil kajian awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak mendapati terdapat empat daerah berpotensi mempunyai sumber mineral NR-REE.
Kata beliau, daerah berkenaan adalah Hulu Perak, Daerah Kuala Kangsar, Daerah Larut Matang dan Daerah Kinta dengan jumlah rizab sebanyak kira-kira 1.7 juta metrik tan.
Namun begitu, jelas Saarani, kira-kira 70 peratus hingga 80 peratus daripada kawasan yang dikenal pasti berpotensi itu terletak dalam kawasan hutan simpan.
“Perak telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek perintis perlombongan NR-REE di dalam kawasan hutan simpan.
“Kejayaan projek perintis yang dilaksanakan secara terancang dan sistematik, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) telah membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberikan kepercayaan kepada negeri untuk meneruskan pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini, enam plot tanah di Mukim Kenering, Hulu Perak telah diluluskan berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi perlombongan NR-REE.
Bagaimanapun menurut Saarani, hanya satu plot sedang beroperasi sebagai projek perintis, manakala lima lagi akan dibangunkan secara berperingkat bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Jelas beliau, , ia akan dilaksanakan setelah kawasan plot perlombongan sedia ada ditamatkan operasinya, dan usaha itu selaras dengan agenda Perlombongan Bertanggungjawab dalam Pelan Perak Sejahtera 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan: