TANJUNG MALIM – Kebolehan menguasai bahasa Jepun membuka peluang kepada Nurin Dayana Alias apabila terpilih menyertai Japanese-Language Programme for Counterpart Japanese Learners of The Nihongo Partners (University Students) Spring Program 2025 di Osaka, Jepun Mei depan.
Pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, pemilihan tersebut adalah satu pengiktirafan terhadap usahanya menguasai bahasa itu untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Anak kelahiran Kelantan berusia 23 tahun itu berkata, minatnya terhadap bahasa tersebut bermula sewaktu berada di tingkatan tiga apabila kerap menonton animasi Jepun (anime).
“Dari situ, saya mula mempelajari perkataan asas dalam bahasa Jepun dan berkongsi pengetahuan dengan rakan-rakan yang turut mempunyai minat sama.
“Minat saya semakin berkembang apabila melihat sepupu saya mengambil bahasa Jepun sebagai subjek elektif di universiti yang mendorong saya untuk mempelajarinya di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Nurin Dayana berkata, dia secara rasmi mendalami bahasa itu di UPSI pada semester kedua dengan mengikuti kursus asas dan seterusnya meningkatkan kemahirannya sehingga mencapai Tahap Tiga.
“Proses pemilihan bagi menyertai program ini mempunyai kriteria yang sangat ketat, antaranya termasuklah penguasaan bahasa Jepun dari Tahap Satu hingga Tiga.
“Selain itu, status sebagai pelajar sepenuh masa serta tidak pernah menyertai program anjuran The Japan Foundation Japanese-Language Institute, Kansai sebelum ini turut menjadi kriteria bagi melayakkan saya menyertai program tersebut,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, dia berkata, faktor lain yang menjurus kepada pemilihannya adalah kecekapannya dalam penggunaan bahasa Cina yang mempunyai persamaan dengan sistem tulisan Kanji Jepun selain memperoleh tempat kedua dalam Pertandingan Festival Orator Peringkat Kebangsaan 2024 dalam bahasa Jepun anjuran UPSI.
“Saya amat bersyukur dan gembira atas peluang ini, namun saya sedar cabaran besar menanti, terutama dalam memastikan saya dapat bertutur dengan lancar termasuklah penggunaan bahasa Jepun secara meluas serta perbezaan budaya yang perlu diadaptasi.
“Sebagai persediaan, saya banyak berlatih bertutur dalam bahasa Jepun dan mendapatkan bimbingan daripada Guru Bahasa Jepun UPSI. Selain itu, ibu bapa saya juga sentiasa memberikan sokongan moral untuk memastikan saya lebih bersedia menghadapi pengalaman ini,” jelasnya.
Sepanjang program ini, Nurin Dayana akan mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi pembelajaran bahasa Jepun secara intensif serta program pertukaran pelajar bersama komuniti dan universiti di Jepun.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr Mazura Muhammad, menyifatkan kejayaan Nurin Dayana sebagai bukti kecemerlangan pelajar UPSI dalam penguasaan bahasa asing serta usaha fakulti dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Nurin Dayana yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik malah memiliki semangat untuk mendalami bahasa asing.
“Pemilihannya dalam program ini adalah satu pencapaian yang mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa.
“Peluang seperti ini membuktikan bahawa penguasaan bahasa asing adalah satu kelebihan yang dapat membuka lebih banyak pintu kepada pelajar dalam bidang akademik dan kerjaya mereka pada masa hadapan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tujuh warga UPSI imamkan solat tarawih di UK, Australia, Singapura